Thursday, February 11, 2010

FRakta To Get A

Kenapakah saya memaparkan perenggan-perenggan di bawah ? Sebabnya, salah satu kaedah penting bagi membaiki kualiti karangan ialah membaca esei yang baik, dan seterusnya, mengutip ilmu penulisan iaitu kaedah penulis berbahasa dan mengolah ayat. Lihat dan tiru kaedah yang digunakan serta berlatih mengaplikasikannya.

Semua perenggan atau ayat di bawah dipilih kerana keberkesanannya kepada pembaca dan mesej disampaikan dengan menarik. Apabila membaca akhbar dan majalah, kenal pasti ungkapan menarik dan manfaatkannya.

KEFASIHAN pemuda Australia itu berbahasa Melayu cukup menakjubkan apatah lagi mendengar kepetahan beliau berbicara menggunakan dialek pantai timur. Apabila bertemu empat mata dengan jejaka ini, terasa malu berbaur bangga. Malu kerana orang luar lebih sayang akan bahasa kebangsaan kita tetapi bangga kerana beliau berjaya menguasainya dalam tempoh yang singkat.

BAGAIMANAKAH wajah Kuala Lumpur 100 tahun lalu? Siapakah yang membuka dan menyemarakkan kota itu pada akhir abad ke-19? Dalam hal ini, kita tidak boleh menyisihkan sumbangan Haji Abdullah Hukum, pedagang yang menyuntik pertumbuhan ekonomi Kuala Lumpur pada 1850-an.

TIDAK ramai yang mahu menerima fakta bahawa membaca buku itu boleh membina minda berilmu, saling tidak tumpah seperti peranan makanan berkhasiat untuk menghasilkan badan yang sihat.

PENGARUH permainan video terhadap psikologi kanak-kanak menyebabkan golongan itu membesar sebagai insan yang ganas sekali gus mendorong pelbagai perlakuan agresif. Menurut pakar psikiatri, Dr Mohamad Hussain, dari aspek psikologi kanak-kanak yang bermain permainan video ganas, bukan saja berimaginasi malah menghayati babak pembunuhan itu kerana mereka bertindak selaku watak utama dalam permainan, seterusnya perlakuan ganas dalam permainan video akan terbawa-bawa ke alam realiti.

PEPATAH Cina ada menyatakan bahawa yang menggerakkan tubuh badan bukanlah kaki tetapi sebenarnya minda dan fikiran. Oleh itu, minda kita keseluruhannya perlu dipacu dengan ilmu pengetahuan, serta wajar diasah dan diasuh agar berfikir mencipta kegemilangan.

PEMIKIR tersohor, Descartes menekankan bahawa membaca buku bermutu itu ibarat ‘berdialog’ dengan orang-orang hebat atau pemikir-pemikir besar. Bahkan, buku dapat mempertemukan dan menghubungkan dunia masa silam dengan dunia pembaca masa kini. Betapa hebatnya pengaruh buku itu, sehinggakan Voltaire menegaskan buku mampu membakar semangat sesuatu bangsa dan mengubah dunia.

APA gunanya kita mempunyai kemudahan yang canggih tetapi rakyat kita tidak mampu menggunakannya kerana mereka tidak celik minda dan tidak mempunyai pengetahuan. Hal ini boleh diumpamakan sebuah negara yang subur dan mempunyai banyak hasil bumi seperti emas, perak dan permata, tetapi semua itu akan menjadi sia-sia, sekiranya tenaga manusianya tidak berkualiti, tidak berpengetahuan dan tidak mampu menguasai teknologi.

Kasih sayang Ibu Bapa Penting Untuk Anak Berjaya

Wujudkah ibu bapa yang tidak sayangkan anak ? Semestinya, semua ibu bapa sanggup berkorban demi kebahagiaan anak mereka. Tetapi, persoalannya adakah semua ibu bapa hari ini menyayangi anak dengan cara lebih tepat ? Dalam hal ini, ada ibu bapa sekarang melakukan kesilapan. Ada menganggap cara ibu bapa dulu mendidik anak tidak betul dan kolot, lalu terus menolak semua, sedangkan cara dulu tidak semua salah atau tidak sesuai lagi.

Ada pula beranggapan cara didikan ibu bapa dulu adalah betul, lalu terus menggunakan semua, sedangkan mungkin ada antaranya tidak sesuai dengan keadaan sekarang. Manakala, ada pula disebabkan ingin mencari cara kontemporari, lalu dengan mudah mengguna pakai cadangan dikemukakan buku atau penceramah, tanpa melakukan penelitian, tapisan atau kefahaman yang mendalam. Kebanyakan isu keibubapaan timbul dalam konteks hubungannya dengan anak yang berada pada usia remaja. Sesetengah remaja menunjukkan perlakuan sukar difahami dan tidak pernah dibayangkan ibu bapanya. Ada ketikanya remaja memilih pakaian dan muzik pelik, emosi berubah-ubah seperti keras dan pendiam, malah mungkin kurang menghormati ibu bapa. Lazimnya, ibu bapa diingatkan mengenali dan memahami psikologi anak remaja. Ibu bapa diberitahu bahawa remaja berada dalam zaman transisi dan bergelut untuk berpaut pada zaman kanak-kanak yang penuh kegembiraan yang bakal ditinggalkan sambil memasuki alam dewasa yang penuh tanda tanya. Orang tua dimaklumkan bahawa anak remaja sedang berada dalam paradoks. Tetapi, ibu bapa jarang diingatkan untuk mengenali dan memahami paradoks yang sedang berlaku dalam dirinya sendiri. Bahawa mereka sendiri mencari keseimbangan antara memberikan kasih sayang dan menetapkan sesuatu untuk anak remajanya.

Sebenarnya, kasih sayang ibu bapa yang ideal ialah memberikan anak remajanya keseimbangan antara kebebasan dan disiplin. Jika disiplin terlalu banyak dan ketat, remaja akan memberontak. Sebaliknya, jika terlalu banyak kebebasan, remaja dahagakan struktur tertentu dan mencarinya sendiri dengan cara belum tentu baik. Oleh itu, ibu bapa perlu membuat pelbagai keputusan mengenai anaknya, misalnya, daripada boleh atau tidak menonton televisyen, hinggalah kepada boleh atau tidak mempunyai teman lelaki atau perempuan. Semakin anaknya menginjak dewasa, maka keputusan itu semakin besar dan penting. Ada keputusan perlu dibuat setiap hari dan ada keputusan perlu dibuat pada tempoh tertentu.

Selain perlu mengenali dan memahami anak remajanya, ibu bapa harus mengenali dan memahami dirinya sendiri terlebih dulu. Umumnya, ahli psikologi merumuskan ada dua komponen utama dalam gaya keibubapaan. Yang pertama ialah ‘responsif’, iaitu sebanyak mana kebebasan diberikan, manakala kedua ialah ‘permintaan’, iaitu sebanyak mana disiplin atau hala tuju akan ditentukan. Dengan kata lain, ibu bapa berdepan dengan paradoks: antara kasih sayang dan kepemimpinan. Kasih sayang ialah responsifnya terhadap kehendak anak remajanya, manakala kepemimpinan pula ialah permintaannya terhadap keperluan masa depan anak remajanya. Pertembungan, dinamika dan keseimbangan antara kedua-dua komponen ini dapat menentukan gaya keibubapaan. Kebanyakan pengkaji membahagikan gaya keibubapaan kepada empat kategori, iaitu: autoritarian, autoritatif, permisif dan tidak terbabit. Ibu bapa yang autoritarian rendah responsifnya, tetapi amat tinggi permintaannya. Walaupun mereka pengasih dan penyayang, anak remajanya tidak merasainya. Kebebasan hampir tidak diberikan dan pendapat anak remaja jarang didengar. Sebaliknya, disiplin amat ketat, malahan cita-cita anak remaja ditentukan ibu bapa.

Remaja yang dibesarkan dalam suasana autoritarian berkemungkinan besar berjaya dalam peperiksaan dan kerjayanya, tetapi mungkin memiliki peribadi yang kaku, rendah harga diri dan terlalu bergantung kepada arahan pihak berkuasa. Ibu bapa yang autoritatif pula mempunyai keseimbangan antara responsif dan permintaan. Mereka akrab, komunikatif dan anak remaja digalakkan bersuara. Kasih sayang diberikan, ditunjukkan dan dirasai. Disiplin dan hala tuju ditentukan dan diterangkan rasionalnya. Remaja bebas menentukan cita-cita dengan ibu bapa memberikan panduan dan bimbingan.

Remaja yang dibesarkan dalam suasana autoritatif berkemungkinan besar akan sama kejayaannya, walaupun tidak lebih, dengan dibesarkan dalam suasana autoritarian. Bezanya golongan ini akan memiliki peribadi bersepadu, yakin, berdikari dan kreatif. Ibu bapa permisif mempunyai responsif amat tinggi, tetapi permintaan amat rendah. Mereka banyak bertolak ansur, memberikan kebebasan dan hampir semua kehendak anak remajanya diturutkan. Gaya tidak terbabit pula hampir tiada permintaan, disiplin dan hala tuju, serta hampir memberikan kebebasan penuh. Malahan, ia lebih satu kecuaian keibubapaan.

Namun begitu, gaya keibubapaan boleh dirosakkan dengan amat mudah, sekiranya ibu bapa tidak dapat mengawal perasaan marah. Jadi, ibu bapa perlu tahu cara menangani kemarahannya. Dalam hal ini, ada tiga persoalan penting iaitu: bila marah itu wajar, bila marah tidak diperlukan dan bila marah itu boleh menjadi masalah. Walaupun, mungkin sukar melahirkan seorang kaunselor profesional atau pra kaunselor dalam setiap keluarga, program Satu Keluarga Satu Kaunselor tetap mempunyai potensi untuk melahirkan ibu bapa berilmu, berkemahiran dan seimbang dari segi memberikan kasih sayang dan kepemimpinan.

Peranan Warga Emas

Di Malaysia, orang tua mempunyai gelaran tertentu seperti warga emas atau golongan veteran. Takrifan ‘warga emas’ adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat sahaja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat sekeliling. Ini merupakan satu tanggapan yang salah. Walaupun tua, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa.

Pada 6 Oktober setiap tahun, sambutan Hari Warga Tua peringkat kebangsaan diadakan. Sambutan ini merupakan satu pengiktirafan kepada golongan tersebut agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban. Tanggapan sebegini haruslah dikikis, malahan golongan muda haruslah menghargai jasa mereka selama ini. Semua agama mewajibkan agar golongan muda menghormati dan menghargai segala jasa baik golongan tua. Kita perlu sentiasa beringat bahawa kita juga akan menjadi tua dan pada ketika itu, kita juga mahu agar orang lain menghormati dan menyayangi diri kita. Apakah sumbangan yang boleh diberikan oleh warga emas ini? Sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan oleh mereka ke arah pembangunan bangsa, agama dan negara. Golongan ini boleh terus melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dengan menyumbang idea yang bernas berdasarkan pengalaman yang telah dilalui. Yang utama ialah semangat untuk hidup dan memberikan sumbangan yang berguna kepada manusia di sekeliling kita.

Bagi generasi muda, mereka masih bergantung harap kepada golongan tua dalam memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh mencabar ini. Tanpa tunjuk ajar dan nasihat dari mereka, generasi muda akan mudah goyah dan diperalatkan oleh anasir luar yang mempunyai niat yang jahat. Jika ini berlaku, keharmonian sebuah negara boleh tergugat. Oleh itu, golongan tua hendaklah terus membimbing golongan muda berdasarkan pengalaman mereka agar hala tuju hidup golongan muda ini terjamin dan lebih bermakna.

Di samping itu, warga tua juga sebenarnya boleh menyumbang sedikit tenaga dengan melakukan kerja-kerja yang bersesuaian dengan kemampuan mereka. Contohnya, seorang bekas guru boleh mengajar kelas tambahan kepada pelajar-pelajar di kawasan kejirannannya ataupun seorang profesor boleh menulis artikel-artikel ilmiah yang bersesuaian dengan bidangnya agar tulisan beliau itu dapat dijadikan bahan rujukan oleh masyarakat umum. Bukan itu sahaja, bekas-bekas guru agama boleh juga mengajar bacaan al-Quran kepada anak-anak di sekitar rumahnya. Bagi yang mempunyai kemahiran, misalnya mahir bertukang, melukis atau menjahit, boleh menggunakan kemahiran itu untuk mendapatkan sedikit pulangan. Beberapa contoh yang disebutkan di atas hanyalah beberapa saranan yang boleh dijadikan panduan bagi warga emas untuk terus memberikan sumbangan kepada negara, bangsa dan agama.

Sesungguhnya, warga tua lebih bijaksana dalam menentukan apa yang ingin mereka sumbangkan kepada masyarakat sekeliling dalam menelusuri hari tua mereka. Walaupun sumbangan yang diberikan itu kelihatannya kecil, golongan ini tidak perlulah berasa rendah diri atau merasakan usahanya sia-sia kerana semua yang besar dan hebat itu bermula dari yang kecil kerana sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Hal ini kerana sumbangan yang diberikan itu akan mempunyai impak yang besar pada kemudian hari. Walaupun begitu, mungkin ada sesetengah warga tua yang berpendapat bahawa masa tua ini adalah masa untuk mereka berehat setelah sekian lama bekerja atau membesarkan anak-anak. Namun begitu pendapat sebegini tidak tepat kerana sikap tersebut akan hanya mensia-siakan kebolehan dan ilmu yang mereka ada sedangkan ilmu di dada mereka itu amat berguna dan diperlukan dalam membantu membangunkan negara.

Lagipun, ramai yang berpendapat bahawa jika golongan warga emas ini hanya mahu berehat, mereka akan lebih mudah ’sakit’. Untuk menjamin sumbangan yang lebih berkesan, kesihatan warga tua ini perlulah diberikan perhatian. Di samping itu, penjagaan makanan dan pengambilan makanan tambahan juga adalah amat digalakkan. Mereka harus prihatin dengan apa yang dimakan kerana sesuatu yang dimakan itu akan menjadi darah daging dan seterusnya mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran seseorang. Dalam masa yang sama, golongan warga emas ini perlulah sentiasa bersikap terbuka, senang didekati dan bersedia bertukar-tukar idea dengan golongan muda agar percambahan ilmu antara mereka dan golongan muda dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.

Kesimpulannya, proses penuaan merupakan satu perkara semulajadi. Tidak ada sesiapa pun yang dapat lari daripada proses ini. Walaupun meningkat usia, sebenarnya kita masih mampu memberikan sumbangan-sumbangan yang tertentu kepada bangsa, agama dan negara. Marilah kita bersedia mulai sekarang untuk menghadapi usia emas dengan penuh gemilang.

Pencemaran Sungai

Sejak beberapa tahun, kerajaan telah melancarkan kempen ”Sayangi Sungai ”dalam negara yang merangkumi pelbagai usaha memantau, memulihara, membersih dan mengindahkan keadaan sungai. Walaupun begitu, belakangan ini, isu pencemaran sungai kian serius sehinggakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid melahirkan rasa kecewanya kerana tidak terdapat kesan yang boleh dibanggakan terhadap keadaan banyak sungai kita.

Masalahnya tidak kelihatan apa-apa tindakan berkesan dilakukan. Mereka yang mendiami sekitaran sungai seperti pengusaha kilang, peniaga gerai makan dan juga penghuni rumah masih menganggap sungai sebagai tempat untuk menyalurkan sampah dan segala macam sisa yang hendak dibuang.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu mengadakan pelbagai acara membabitkan orang ramai dan industri. Sokongan orang ramai dan swasta adalah penting sekiranya kempen menyayangi sungai dikehendaki mendatangkan kesan. Perasaan cintakan sungai yang mengalir melalui kediaman atau bandar mereka diami adalah milik mereka juga perlu dipupuk. Hanya dengan cara begini, baru akan timbul perasaan menyayangi sungai mereka sendiri dan dengan itu mereka juga berusaha memuliharanya daripada dicemari. Apa pun kebanyakan sungai dan kawasan lembahnya terus dilanda pencemaran. Malah tahap pencemaran terhadap beberapa batang sungai semakin teruk hingga ada yang terpaksa dikategorikan sebagai sudah ‘mati’.

Mengikut perangkaan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perairan dan Saliran, Datuk Keizrul Abdullah, kedudukan sungai dalam negara kita sebenarnya semakin meruncing. Daripada keseluruhan 120 kawasan lembah sungai yang dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS) kedudukan pencemarannya semakin buruk dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, masih ada 63 sungai dikategorikan sebagai bersih, tetapi setahun kemudian hanya tinggal 58 sungai yang masih bersih. Pada 2002, 43 sungai dianggap sudah tercemar manakala setahun kemudian jumlah sungai yang tercemar meningkat kepada 53. Bagaimanapun, jumlah sungai yang mengalami pencemaran teruk tinggal sembilan batang saja pada 2003 berbanding dengan 14 sebelum itu. Tidak diketahui apakah yang menyebabkan lima sungai yang tercemar teruk pada 2002 bertambah baik setahun kemudian.

Pemantauan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa kiranya tidak ada rancangan berkesan memelihara kebersihan sungai, kedudukan kebanyakan sungai dalam negara akan terus dilanda pencemaran. Hal ini disebabkan, keseluruhannya rakyat negara ini amat kurang prihatin terhadap tahap kebersihan sungai. Kebanyakan daripada mereka seolah-olah tidak pernah terfikir bahawa merekalah juga yang menyebabkan keadaan kebanyakan sungai kita terus tercemar. Penghuni rumah di tepi sungai baik setinggan atau pun tidak, berterusan menganggap sungai seperti saliran membuang najis dan sampah. Kalau diperhatikan kawasan perumahan, bangunan dan rumah kedai yang didirikan 30 atau 40 tahun lalu semuanya membelakangkan sungai. Ramai ketika itu menjadikan sungai sebagai saliran sampah dan najis. Sehingga kini pun ketika pemaju perumahan misalnya sudah tidak lagi menganggap sungai sebagai saliran sampah dan mula mendirikan rumah menghadap sungai, itupun orang ramai masih tidak dapat mengikis pandangan mereka terhadap sungai.

Selagi tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan, selagi itulah segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan. Kesedaran demikian ini seharusnya dipupuk daripada bangku sekolah lagi. Perasaan cinta akan sungai dan prihatin terhadap persekitaran alam didedahkan kepada murid di sekolah lagi supaya apabila dewasa kelak mereka akan lebih prihatin terhadap usaha kebersihan alam sekitar. Media juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya sungai dipelihara supaya terus bersih.

Demikian juga walaupun ada pelbagai peraturan dan undang-undang mencegah kotoran dan sisa pengilangan atau ternakan dibuang ke sungai, kegiatan tidak bertanggungjawab ini tetap diteruskan. Pemantauan dan pencegahan oleh Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan perlu ditingkatkan. Lazimnya, apabila pencemaran didedahkan media, barulah mereka bertindak. Bahkan kadangkala pesalah hanya dikenakan kompaun yang tidak seberapa sehingga tidak wujud perasaan takut menghadapi tindakan. Walaupun ada peruntukan membolehkan kilang yang secara berterusan membuang sisa dan sisa toksik ditutup, apakah tindakan drastik demikian ini pernah diambil? Sebenarnya kalau ada kemahuan, sungai-sungai ini sememangnya boleh dipulihkan menjadi bersih agar ikan akan dapat membiak kembali dan berbagai-bagai kegiatan riadah dan pelancongan boleh dilaksanakan menggunakan sungai terbabit.

Jelasnya, segala usaha mungkin akan mengambil masa tetapi sekiranya ada keazaman dan dengan perangan rapi dan dapat pula dilaksanakan dengan betul tanpa pengecualian tentunya sungai-sungai yang terjejas dapat dipulihkan.

Gejala Merokok Di Kalangan Reamaja

Gejala merokok kian meningkat kini walaupun pelbagai kempen dijalankan untuk mengurangkan perokok. Banyak remaja, lelaki mahupun perempuan yang terjebak dalam tabiat buruk ini. Tabiat merokok bukan sahaja membazirkan wang malah membawa pelbagai penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser paru-paru. Menurut Menteri Kesihatan, Dato’ Dr. Chua Soi Lek, peningkatan merokok dalam kalangan remaja kian meningkat mengikut statistik pada tahun 2006.

Kempen antimerokok yang sedang dijalankan oleh kerajaan baru-baru ini sememangnya satu langkah yang baik. Kerajaan patut dipuji kerana berusaha untuk membanteras tabiat merokok. Kempen ini memberi penumpuan kepada rupa paras negatif orang yang merokok untuk menakutkan remaja yang terjebak dalam tabiat ini. Kempen ini juga menunjukkan keadaan paru-paru orang yang merokok. Paru-paru tersebut hitam, kering, dan sungguh menakutkan.

Kempen antimerokok ini disebarkan secara meluas dalam pelbagai media. Televisyen, surat khabar, dan juga radio kini dipenuhi dengan iklan-iklan antimerokok. Para remaja yang majoritinya menonton televisyen serta mendengar radio diberi kesedaran mengenai tabiat merokok dan kesan-kesan melalui iklan-iklan ini. Melalui pengiklanan golongan sasaran kempen ini, iaitu perokok seharusnya dapat dicapai dan kadar perokok dapat dikurangkan.

Kempen antimerokok yang dilancarkan oleh kerajaan kira-kira setahun yang lalu di seluruh negara berlandaskan slogan “Tak Nak!” Slogan ini sangat sesuai untuk membuang tabiat buruk merokok dan mengatakan “tak nak kepada rokok.” Kesan-kesan buruk tabiat merokok yang dipaparkan dapat menanam rasa takut dalam jiwa perokok. Pihak kerajaan berharap kempen-kempen ini dapat menyedarkan perokok untuk berhenti merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Kempen antimerokok ini merupakan antara langkah kerajaan yang amat dipuji. Harapan kerajaan melalui kempen ini adalah untuk menyedarkan perokok dan mengurangkan jumlah perokok khususnya remaja.

Kesimpulannya, semua pihak berkenaan perlulah bekerjasama untuk menghapuskan tabiat yang membunuh ini. Dengan usaha kerajaan yang berterusan dan intensif ditambah dengan kerjasama masyarakat diharapkan kempen ini akan berjaya.

Contoh Isi penting Esei Perlancongan

Pelancongan merupakan industri perkhidmatan utama yang kian berkembang maju dan mendatangkan keuntungan besar dalam bentuk tukaran asing serta memasyhurkan Malaysia di mata dunia. Pada tahun 2000, seramai 10.2 juta orang pelancong (termasuk pelancong domestik) berkunjung ke Malaysia yang menghasilkan pendapatan RM20 bilion, termasuk RM17 bilion daripada pertukaran asing (Berita Harian, 9 Jun 2001). Angka tersebut melebihi jangkaan 6.4 juta pelancong yang diramalkan akan datang ke Malaysia. Malaysia juga merupakan negara ketiga paling ramai menerima pelancong di Asia Timur – selepas China dan Hong Kong.
* Malaysia merupakan destinasi pelancongan tropika indah yang sangat berpotensi di Asia yang bukan sahaja dapat menarik pelancong antarabangsa tetapi juga menawan warga tempatan.

· Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini.

· Potensi industri pelancongan sebagai penjana ekonomi baru negara hanya dapat direalisasikan jika usaha-usaha memajukan dan membangunkan industri pelancongan diberi penekanan yang sewajarnya. Isu-isu seperti pelancongan eko, alam sekitar, visa, kemudahan lapangan terbang, kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan dan keselamatan pelancong, semuanya menyumbang secara positif dan negatif kepada jumlah pelancong yang melawat Malaysia.

· Kejayaan industri pelancongan tidak semata-mata bergantung kepada kempen dan promosi galakan (melalui pengiklanan yang melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit) di dalam dan luar negara. Kejayaan ini juga sedikit sebanyak bergantung kepada `cerita-cerita’ (pengalaman-pengalaman) para pelancong yang sudah melawat Malaysia. Pelancong-pelancong yang mempunyai pengalaman yang baik melancong di Malaysia, tentunya akan datang semula dan juga akan memberitahu rakan-rakan mereka. Inilah kempen dan promosi galakan yang terbaik.

· Jika diperhalus, banyak yang perlu dibaiki dan dibetulkan. Insiden-insiden pelancong ditipu oleh pemandu teksi, kekotoran pusat-pusat makanan, kelemahan sistem pengangkutan awam, pencemaran sungai dan kawasan rekreasi, harga tidak berpatutan dan seumpamanya tidak menyumbang kepada pengalaman yang baik kepada para pelancong.

· Aduan-aduan daripada para pelancong mesti dilihat sebagai cara terbaik untuk memajukan industri pelancongan kita lagi. Satu anjakan sikap perlu berlaku dalam memberi layanan terbaik kepada pelancong.

· Siri-siri dialog dan pertemuan lebih kerap perlu diadakan dengan semua kementerian, jabatan, agensi dan sektor swasta bagi merangka perancangan dan program bersepadu bagi memajukan industri pelancongan tempatan. Usaha-usaha menggalakkan pelancongan tidak akan membuahkan hasil jika setiap pihak di dalam industri berkenaan tidak menjalankan peranan mereka dengan sebaik-baiknya.

· Pelbagai kegiatan dalam usaha mencari jalan memajukan industri pelancongan di negara ini dijalankan. Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) yang mempunyai pengaruh besar dalam industri pelancongan di rantau ini telah mengadakan persidangan tahunannya di sini. Forum Pelancongan Majlis Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Kedua turut diadakan. Begitu juga dengan Pesta Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Antarabangsa Malaysia (MATTA) 2001 telah dianjurkan di sini.

· Atas kesedaran ini juga, kerajaan telah mengadakan pelbagai program untuk memajukan industri pelancongan. Kejayaan industri ini bergantung kepada usaha pacuan sektor swasta dengan sokongan sektor awam. Usaha sektor awam atau kerajaan ini tidak akan berjaya tanpa digerakkan dan didorong oleh sektor swasta. Sektor swastalah yang menggerakkan perniagaan pelancongan sama ada daripada kalangan ejen pelancongan, pengangkutan, perhotelan, rekreasi, penyusun acara, ataupun pusat-pusat membeli-belah.

· Pihak kerajaan boleh menggalakkan perniagaan industri-industri ini seperti mengadakan pelbagai kempen serta menyediakan dan mencekapkan infrastruktur.

· Namun begitu, pada keseluruhannya, kita percaya bahawa kejayaan sebenar industri pelancongan memerlukan kesedaran dan kerjasama rakyat Malaysia sendiri. Selain pihak kerajaan dan sektor swasta bekerjasama untuk memajukan pelancongan, rakyat juga harus bersedia untuk memiliki sikap menyumbang kepada industri ini.

· Contohnya, bermula daripada kesedaran memelihara kebersihan di tempat-tempat awam hinggalah kepada mengambil kira soal pelancongan negara dalam membuat sebarang keputusan semasa menjalankan kerja-kerja seharian.Untuk lebih memahami keperluan pelancong, rakyat negara ini juga harus sendiri menjadi pelancong dalam negeri.

· Dengan menjadi pelancong dalam negeri, bukan saja boleh meningkatkan kualiti hidup diri sendiri dan keluarga melalui rekreasi pelancongan, tetapi juga dapat mengukuhkan kekuatan ekonomi industri itu.

· Apabila tempat-tempat pelancongan di dalam negeri menjadi lebih kukuh, maka ini dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatannya yang akan memudahkannya menerima pelancong luar negara. Selain itu, dengan sering kali melakukan perjalanan, seseorang itu akan memperoleh idea-idea baru bagaimana hendak meningkatkan industri pelancongan di negara ini.

· Selain dari sudut komersial pelancongan, peningkatan kunjungan pendatang luar ke negara ini dengan sendirinya akan memasyhurkan kemakmuran Malaysia di mata dunia.Pelancongan berasaskan pertanian untuk memberi pengalaman kepada pengguna merasai hidup kampung dan merasai nikmat alam semula jadi melawat ladang buah-buahan, ladang sayur-sayuran, ternakan ikan dan sebagainya.

FAKTOR-FAKTOR YANG MENJADIKAN SESUATU KAWASAN BERPOTENSI SEBAGAI KAWASAN PELANCONGAN

Bentuk muka bumi:
Bergunung ganang; Aktiviti mendaki gunung / tracking+cth gunung.
Udara yang nyaman dengan suhu yang rendah dan tumbuhan semulajadi yang menghijau.
Jeram dan air terjun untuk mandi manda + cth lokasi.
Gizar / kawah gunung berapi + cth gunung berapi.
Pantai yang berpasir sesuai untuk bersantai + cth lokasi.
Pulau / Laut yang jernih dan mempunyai terumbu karang sesuai untuk selam skuba +cth lokasi.
Kawasan paya yang kaya dengan reptilia spt buaya.
Tasik buatan manusia / semula jadi sesuai untuk memancing/ berperahu+ cth tasik.
Sungai yang sesuai untuk berkayak / memancing + cth sungai.

Iklim:
Suhu 27 0C dan panas sepanjang tahun sesuai untuk mandi-manda +cth nama pantai.
Suhu bawah 0° C pada musim dingin menyebabkan salji turun dan sesuai untuk ski.

Pemandangan yang menarik:
Tumbuhan semula jadi yang menghijau dan menyamankan spt terdapat bunga reflesia.
Pandangan batu kapur spt stalaktit dan stalakmit.
Gua yang menarik + cth gua.
Kesan sejarah + cth lokasi.
Haiwan spt penyu bertelur +cth pantai.
Zoo yang menarik minat pelajar sekolah; muzium + cth.
Pusat Sains spt roket ke angkasa, astronomi + ctli lokasi.

Kemudahan-kemudahan asas yang mencukupi spt hotel bertaraf
lima bintang + cth, padang golf,pusat membeli-belah + cth; penukar wang asing.

Ketersampaian – kawasan pelancongan dihubungi dengan jalan raya keretapi /
jalan laut:, feri / lapangan terbang +cth lapangan terbang / pelabuhan.

Sikap rakyat yang peramah dan masyarakat majmuk menarik pelancong.

Peranan agensi + (nama agensi + peranan).

Peranan kerajaan spt intensif cukai dari kerajaan, persidangan antarabangsa.

Kerjasama serantau spt Tahun Melawat ASEAN .

Kedudukan yang strategik / laluan perdagangan timur-barat.

Modal mencukupi untuk membina hotel, chalet dari pelabur tempatan / swasta +

Kebudayaan tempatan / seni, budaya,perayaan+cth.

Harga barangan yang murah/ dikecualikan cukai menarik pelancong.

Keselamatan terjamin/ pelancong merasa selamat/keselamatan pelancong.

KEPENTINGAN PELANCONGAN
Pendapatan negara + RM? .
Memajukan bandar-bandar pelancongan spt Melaka, Kuala Kangsar.
Peluang pekerjaan bagi penduduk sekitar +cth.
Pemangkin kepada pembangunan kawasan pelancongan spt infrastruktur / kemudahan asas.
Memajukan / menaikkan taraf jalan raya / keretapi / pelabuhan / lapangan terbang.
Menggalakkan industri kraftangan / desa.
Memajukan bekas lombong spt dijadikan padang golf, rekreasi +cth.
Hubungan dua hala dengan negara asal pelancong.

KESAN PELANCONGAN TERHADAP ALAM SEKITAR
Penebangan hutan untuk membuka kawasan pelancongan spt membina hotel, jalan raya, taman rekreasi padang golf telah mengakibatkan pelbagai.
Kepupusan pokok berharga + cth pokok.
Peningkatan kadar suhu kerana kurangnya proses fotosintesis yang menyebabkan bertambahnya kandungan karbon dioksida, kurangnya proses sejat peluhan; muka bumi terdedah kepada sinaran matahari.
Habitat haiwan terganggu rantaian makanan haiwan terganggu -haiwan pupus + cth haiwan.
Kemusnahan kawasan tadahan hujan.
Tanah terdedah kepada hakisan hujan dan matahari; berlaku tanah runtuh gelangsar tanah.
Bahan terhakis dialirkan ke sungai menyebabkan sungai keruh, sungai cetek, banjir kilat mudah berlaku.
Sungai/pantai tercemar kerana pembuangan sampah oleh pelancong / hotel + cth sungai / pantai.
Pembinaan hotel di tepi pantai telah menyebabkan laut tercemar dengan bahan hakisan.
Kumbahan dari hotel dan chalet yang dialirkan ke sungai dan laut telah mencemarkan sungai dan laut berkenaan + cth lokasi / sungai.
Terumbu karang pupus kerana diambil sebagai cenderamata.
Kenderaan yang membawa pelancong mengeluarkan karbon monoksida yang mencemarkan udara; menyumbang kepada kesan rumah hijau; bunyi bising.
Pelancongan di kawasan gua / kawasan batu kapur telah mengganggu hidupan spt kelawar.

USAHA MEMAJUKAN INDUSTRI PELANCONGAN
Membanyakkan kawasan pelancongan spt pulau-pulau yang airnya jernih dan berbatu karang + cth.
Membina banyak hotel yang bertaraf lima bintang, padang golf + cth.
Menambah lesen agensi pelancongan.
Pemuliharaan kawasan-kawasan bEsejarah, kawasan pelancongan sedia ada+cth.
Membuka kawasan hutan simpan untuk trekking + cth
Membuka kawasan tasik untuk aktiviti memancing,bermain bot + cth tasik.
Membina chalet yang sewanya rendah untuk menarik pelancong.
Promosi oleh agensi kerajaan (agensi + usaha).
Mengadakan persidangan / pameran antarabangsa + cth.
Membaiki jalan raya / keretapi / lapangan terbang / pelabuhan supaya kawasan pelanconan mempunyai darjah ketersampaian yang tinggi spt keretapi Express Langkawi penerbangan MAS ke destinasi antarabangsa.
Memberi pengurangan cukai kepada syarikat pelancongan untuk memajukan kawasan baru / membina hotel kos sederhana.
Mengadakan kedai bebas cukai + cth lokasi, polis pelancong untuk menjamin keselamatan pelancong.

Larangan Bawa Telefon Ke Sekolah

Teknologi yang canggih telah membantu manusia untuk melaksanakan pelbagai urusan dan menjadikan negara kita semakin maju. Ringkasnya, peralatan teknologi yang canggih dapat membantu manusia membuat sesuatu kerja yang tidak termampu dilakukan oleh manusia. Sehubungan itu, pelbagai alat teknologi seperti komputer, telefon bimbit, satelit dan sebagainya telah dicipta dari semasa ke semasa untuk kemudahan kita.

Antara alat canggih yang telah dicipta oleh manusia, telefon bimbitlah yang paling biasa digunakan. Dengan adanya telefon bimbit, kita dapat menghubungi sesiapa sahaja walau di mana-mana pun hatta berada di tempat yang sangat jauh. Selain itu, pengendali telefon bimbit juga memperkenalkan perkhidmatan mesej pendek. Oleh itu, kita dapat menghantar berita dengan telefon bimbit, bukan lagi menggunakan perkhidmatan pos yang lambat dan berkos tinggi. Perkhidmatan ini lebih menjimatkan masa dan wang. Oleh itu, banyak orang menggunakan telefon untuk perkhidmatan ini. Selain itu, kamera serta pemain muzik juga telah dipasangkan pada telefon bimbit. Telefon bimbit juga semakin canggih hingga boleh melayari laman web dan juga menggunakan perkhidmatan 3G.

Kebanyakan ibu bapa membeli telefon bimbit untuk anak-anak mereka kerana mudah dihubungi. Oleh itu, kita dapat melihat banyak murid yang mempunyai telefon bimbit termasuklah murid-murid sekolah rendah. Setelah mempunyai telefon bimbit, mereka dapat membuat apa-apa sahaja serta dapat pergi ke mana-mana sahaja kerana dengan kemudahan telefon bimbit, mudah sahaja hendak menghubungi mereka. Sebagai akibatnya, banyak murid akan membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak dibenarkan.

Langkah kerajaan melarang penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar di sekolah memang tepat. Apabila pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, mereka akan mengakibatkan banyak masalah disiplin. Mereka akan menunjuk-nunjukkan telefon yang dibelikan oleh ibu bapa mereka. Maka, sikap materialistik wujud dalam diri pelajar yang masih berusia muda itu. Pelajar yang tidak mempunyai telefon bimbit juga akan berasa tersisih kerana tidak ada teman berbual seperti kawan lain yang mempunyai telefon bimbit. Mereka berasa rendah diri dan tidak puas hati dan akhirnya mereka mungkin mencuri telefon bimbit orang lain. Kesannya, pihak sekolah pula terpaksa menguruskan kes kecurian sehingga menyebabkan proses pembelajaran terganggu. Soalnya, adakah patut kita membebankan guru dengan beban baharu, iaitu menjadi pegawai penyiasat kecurian telefon bimbit?

Selain itu, pelajar tidak dapat menumpukan perhatian semasa guru sedang mengajar kerana mereka akan bermain dengan telefon bimbit. Seterusnya, apabila terdapat deringan telefon bimbit, proses pembelajaran dan pengajaran akan mengalami gangguan. Semasa ujian, pelajar juga boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghantar mesej berbentuk jawapan kepada rakan yang lain. Perkara ini adalah amat tidak berakhlak dan tidak adil terhadap pelajar lain. Dengan telefon bimbit yang canggih, mereka dapat mengambil gambar serta mendengar lagu kegemaran mereka. Gejala seperti ini tidak patut berlaku di sesebuah sekolah. Selain itu, dengan menggunakan telefon bimbit, pelajar-pelajar dapat memuat turun gambar-gambar atau klip-klip video yang tidak senonoh. Mereka akan berkongsi gambar atau klip video tersebut dengan rakan. Maka, pelajar akan mudah tepengaruh dengan gejala tidak sihat.

Mengikut kajian, telefon bimbit akan mengeluarkan sejenis gelombang bunyi yang akan menjejaskan kesihatan. Tambahan pula, kini para pelajar masih dalam proses tumbesaran. Telefon bimbit tidak sesuai digunakan oleh murid-murid yang berusia muda kerana akan menjejaskan kesihatan mereka. Hakikat ini haruslah diberikan perhatian oleh setiap pihak. Mencegah itu lebih daripada merawat. Janganlah apabila kesihatan sudah terjejas, pihak lain pula dipersalahkan sedangkan mereka sudah diingatkan berkali-kali tentang kesan gelombang telefon itu.

Tuntasnya, langkah kerajaan melarang penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar di sekolah sememangnya merupakan langkah yang bijak. Melalui perbincangan saya di atas, kita dapat mengetahui impak penggunaan sebuah alat yang canggih ini terhadap para pelajar. Bagi mengelakkan perkara-perkara tersebut berlaku, adalah lebih baik para pelajar menggunakan telefon bimbit apabila dewasa nanti kerana telefon bimbit memerlukan kos penggunaan yang tinggi.

contoh karangan Isu Pengankutan Awan

Rangkaian pengangkutan awam di negara kita meliputi pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT) dan monorel. Memang sudah ada banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan agak lama ini.

Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah harganya yang mahal. Kadar tambang terutama teksi dan LRT dianggap oleh masyarakat sebagai agak mahal untuk mereka gunakan dengan kerap sistem pengangkutan itu. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh seperti mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan LRT.

Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan sistem pengangkutan awam yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutama bas tidak boleh diharap terutama jadual perjalanannya yang menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah penjagaan bas, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori ini kerana penyelenggaraan yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja menyampah melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadualnya tetapi juga kegagalan mereka untuk menjaga tahap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam mereka.

Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan. Contohnya, antara monorel dengan LRT atau antara bas dengan monorel. Keadaan ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula.
Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus dihasilkan oleh kerajaan dengan segera sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
Malah, pengangkutan awam turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara. Sesungguhnya, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan.
Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam ini memang banyak tetapi rumit untuk diselesaikan. Ketika masyarakat semakin gusar dengan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, pihak kerajaan harus membuat tindakan drastik menangani isu ini. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas bagi mengatasi kemelut ini.

Contoh Karangan Pendapat : Isu Dadah

Apabila anda merdengar ungkapan “Enam Jahanam”, apakah yang mungkin anda fikirkan ? Adakah itu judul sebuah filem klasik P. Ramlee atau nama kumpulan penjenayah yang diburu oleh pihak polis ? Rupa-rupanya, ungkapan itu merujuk kepada enam jenis dadah yang harus diberi perhatian serius kerana penyalahgunaannya yang meluas – heroin, kokain, ecstasy, kanabis, syabu dan morfin. Sewaktu melancarkan “Karnival Enam Jahanam”, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa isu dadah di negara kita berada pada tahap yang berbahaya. Oleh itu, kerajaan mengisytiharkan dadah harus diperangi hingga ke akar umbi kerana dadah merupakan musuh nombor satu negara.Apakah sebenarnya dadah ? Dadah yang fungsi asalnya ialah bahan perubatan merupakan bahan kimia psikoaktif yang mempunyai kesan ke atas sistem saraf pusat seperti menyebabkan keadaan khayal, ketagihan dan gangguan tingkahlaku. Penyalahgunaanya yang berterusan mendatangkan kerosakan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Pada akhir tahun 1960-an, negara kita mulai mengalami masalah dadah Golongan remaja dipengaruhi oleh kebudayaan ‘hippie’ dan askar-askar Amerika yang melancong ke Pulau Pinang. Sebagai kesan daripada kedua pengaruh tersebut, penagihan dadah telah merebak ke seluruh negara. Golongan muda yang terlibat dalam penagihan dadah merupakan pemuda- pemudi harapan bangsa dan negara dan terjerumusnya mereka dalam alam khayalan ini mengakibatkan mereka bukan sahaja tidak berguna kepada masyarakat bahkan diri mereka sendiri. Memandangkan hakikat inilah, kerajaan telah mengambil sikap tegas terhadap pengedaran dadah, dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk melindungi rakyat termasuklah undang-undang yang amat ketat. Tetapi, pengedaran dadah nampaknya tidak boleh diselesaikan dengan hanya peruntukan undang-undang seperti Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985) walaupun mereka yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori. Oleh itu, kerajaan telah melancarkan kempen antidadah di seluruh negara secara meluas. Namun demikian, tanggungjawab untuk memerangi dadah seharusnya kita pikul bersama.

Tindakan pencegahan dadah yang berkesan memerlukan penglibatan semua golongan masyarakat. Pada zaman moden ini, golngan muda lebih bebas, terdedah kepada pengaruh asing dan mereka lebih mengutamakan pandangan rakan sebaya. Dengan ini, mereka mudah terlibat dengan kegiatan yang tidak sihat. Untuk disanjung oleh kawan, mereka menunjukkan keberanian dengan menghisap rokok dan dadah. Sekali mereka bermula, maka amat sukar bagi mereka memberhentikan amalan buruk ini. Masyarakat harus dididik sejak kecil lagi bahawa dadah itu najis, benda yang kotor dan tidak boleh disentuh. Sekiranya kita berjaya menyemai nilai ini dalam hati sanubari mereka, sebahagian daripada kejayaan pencegahan dadah akan tercapai. Kita harus sedar bahawa tindakan kita ke arah matlamat mencegah penyalahgunaan dadah ini adalah untuk menyelamatkan bukan sahaja keluarga kita sendiri bahkan generasi muda untuk mewujudkan satu bangsa yang bermaruah dan dihormati.

Sebahagian besar penagih-penagih dadah di negara kita terdiri daripada golongan remaja antara 15-29 tahun. Antara sebab-sebab utama mereka ini menjadi penagih ialah kerana keseronokan, sikap ingin tahu, pengaruh persekitaran terutamanya pengaruh rakan sebaya, tekanan emosi disebabkan oleh sama ada kegagalan, tidak mendapat kasih sayang ibu bapa atau kerana kemewahan. Hal ini menunjukkan, sekolah boleh memainkan peranan penting dalam membasmi bencana dadah. Pada tahun 2005 ini, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah melancarkan program pencegahan penagihan dadah besar-besaran tahun ini dengan sasaran utama terhadap golongan belia terutama pelajar sekolah. Program pencegahan merupakan usaha terbaik bagi mengelak pertambahan jumlah penagih baru di negara ini. Menurut laporan agensi itu, sehingga Oktober tahun 2004, daripada sejumlah 30,659 penagih dadah, sebanyak 15,292 orang adalah penagih baru manakala sebanyak 15,667 adalah penagih berulang. Data ini jelas menunjukkan kita perlu bersungguh-sungguh dengan program pencegahan kerana program pemulihan dan rawatan sukar menghalang penagih-penagih ini mengulangi kegiatan mereka.

Kajian oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan kegiatan penagihan dadah lazimnya bermula dengan tabiat menghisap rokok. Ini kerana tabiat ketagihan dihasilkan oleh unsur nikotin dalam rokok. Apabila merasakan rokok tidak memberi kepuasan, mereka beralih kepada ganja dan sekiranya ganja juga tidak memberi keseronokan, mereka akan beralih kepada heroin dan morfin. Jelasnya, pencegahan tabiat merokok juga penting dalam memerangi najis dadah kerana implikasinya terhadap dorongan untuk mendapatkan dadah.

Masyarakat harus sama-sama menyedari akan kesan pengambilan dadah. Dengan berfikiran rasional, mereka tentu tidak sanggup menerima risikonya yang menakutkan. Antara kesan-kesannya ialah mendapat penyakit meningitis, penyakit jangkitan jantung, AIDS, Hepatitis B, C, dan D, kerosakan buah pinggang, otot-otot badan mengecut dan berkemungkinan lumpuh. Kesan fizikal pula ialah apabila sekiranya bekalan dadah tidak diperoleh mereka akan berasa keluh-kesah, gian, dan amat menderita. Jelasnya mereka akan berperang dengan kematian kerana terdedah dengan penyakit terutamanya penyakit AIDS yang amat digeruni.

Kesimpulannya, kita harus bertekad dengan keazaman yang tinggi untuk memerangi dadah. Najis dadah akan kita kuburkan dan wujudlah suasana dadah sifar. Marilah kita sama-sama menghapuskan najis dadah yang “menjahanamkan” masyarakat daripada terus hadir di Malaysia. Kita tiada pilihan melainkan hanya satu slogan di hati dan di minda pada setiap masa iaitu “Perangi Dadah Habis-Habisan”.

Wednesday, February 10, 2010

KEBAIKAN INTERNET

Pengenalan

Penggunaan teknologi komputer dalam bidang pendidikan bukanlah sesuatu yang baru, malah telah lama diperkenalkan di negara-negara maju seperti Amerika dan Eropah sejak awal tahun 60 an lagi. Malaysia tidak ketinggalan dalam menikmati arus pembangunan yang berasaskan komputer ini. Dalam konteks pendidikan, ia bukan hanya mampu membantu tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, tetapi berpotensi sebagai alat untuk mengayakan lagi persekitaran pengajaran dan pembelajaran bagi hampir semua mata pelajaran. Penciptaan mikro komputer pada awal tahun 70 an telah memberi kesan yang mendalam kepada penggunaan teknologi tersebut dalam bidang pendidikan di Malaysia (NorHashim, Mazenah & Rose Alinda, 1996).

Aspek teknologi telah digabungkan dalam kurikulum sekolah sebagai satu daya usaha ke arah menyemai dan memupuk minat serta sikap yang positif terhadap perkembangan teknologi. Budaya persekolahan seharusnya diubah daripada sesuatu yang berdasarkan memori kepada yang berpengetahuan, berpemikiran, kreatif dan penyayang dengan menggunakan teknologi terkini ( KPM, 1997 ). Atas alasan inilah pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan berhasrat untuk mengujudkan Sekolah Bestari yang sekali gus bertindak mengisi agenda perancangan dan pelaksanaan Koridor Raya Multimedia ( Multimedia Super Corridor atau MSC ). Pelaksanaan Sekolah Bestari akan membuka ruang seluas-luasnya kepada teknologi komputer dan internet, yang akan membolehkan fleksibiliti dan kepelbagaian dibina dalam sistem pendidikan (KPM, 1997). Penggunaan dan perkembangan internet yang meluas dalam bidang perniagaan dan komunikasi, akan memudahkan pelaksanaannya dalam bidang pendidikan.

Peranan komputer dan internet dalam pendidikan

Penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dapat memperkembang dan memperkayakan lagi tajuk yang diajar. Lebih sedekad yang lalu, NCTM (National Council of Teachers' of Mathematics, 1980) mencadangkan supaya pengajaran matematik mengambil peluang luas yang ditawarkan oleh komputer. Cockcroft (1982) menyarankan bahawa penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran matematik bukan sahaja boleh memperbaiki kualiti pengajaran matematik malah penggunaan komputer juga boleh merubah kepentingan sesuatu tajuk dalam silibus matematik. Keadaan yang sama juga mungkin wujud dalam pengajaran dan pembelajaran matapelajaran lain di sekolah. Aktiviti penyelesaian masalah adalah bahagian terpenting dalam pendidikan matematik. Pencapaian yang tinggi dalam matematik tidak bermakna jika seseorang pelajar tidak mampu melakukan proses penyelesaian masalah. Laporan Cockcroft (1982) menegaskan bahawa masalah matematik harus diterjemahkan kepada sebut an dan bahasa matematik sebelum ianya diselesaikan. Langkah terjemahan seperti ini memerlukan fahaman yang lengkap terhadap struktur konsep yang terkandung dalam masalah tersebut. Keadaan ini telah menyebabkan kesukaran pembelajaran di kalangan setengah-setengah pelajar. Masalah dan kesukaran ini boleh diatasi melalui penggunaan komputer ( Lim, 1989 ).

Dalam beberapa kajian yang telah dijalankan (Funkhouser, 1993; Henderson and Landersman, 1992; Chazan, 1988; Mc Coy, 1991; Al Ghamdi, 1987) didapati bahawa:

  • Pelajar yang menggunakan komputer dalam matematik mempunyai sikap yang lebih positif terhadap dirinya sebagai ahli matematik dan berkeupayaan menyelesaikan masalah yang lebih kompleks.
  • Perisian komputer yang digunakan dalam proses pengajaran akan dapat membantu pelajar memahami konsep dan prinsip matematik dengan mudah dan berkesan.
  • Pencapaian pelajar dalam peperiksaan akhir menunjukkan peningkatan yang ketara.
  • Kumpulan yang belajar berbantukan komputer mempunyai kemampuan mengekalkan maklumat dalam jangka masa yang lebih lama dan dapat menggunakannya dalam bidang-bidang lain.

Penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran melibatkan beberapa aplikasi, seperti spreadsheet, multimedia dan internet. Peranan dan penggunaan internet telah mula dikenalpasti dapat membantu pengurusan dalam sistem pendidikan negara khususnya dalam pelaksanaan proses pengajaran pembelajaran di dalam dan luar bilik darjah yang secara langsung melibatkan para pendidik, pelajar dan ibubapa serta ahli masyarakat yang prihatin.

Kajian oleh Christie (1996) terhadap penggunaan mel eletronik (e-mail) dan penerokaan maklumat di kalangan para pelajar sekolah rendah mendapati bahawa, selain daripada semangat belajar secara kumpulan (cooperative learning), para pelajar juga semakin mesra dengan alat teknologi ini dan sentiasa berusaha untuk meneroka 'alam yang baru ditemui' (virtual reality). Mereka sentiasa menemui maklumat baru dan bahan-bahan yang amat menarik perhatian. Nolan dan Martin (1994) menyatakan bahawa pembelajaran dalam suasana baru seperti menggunakan internet di sekolah telah membawa banyak perubahan kepada pelajar. Pelajar didapati lebih mahir membuat kajian dan lebih berfikiran secara kritikal. Walau bagaimanapun jurang perbezaan sosial ekonomi di kalangan pelajar harus diambil kira semasa pendedahan teknologi komputer dan internet diberikan (Bier et. al, 1996).

Kang (1995) dalam kajiannya untuk menilai kesan aktiviti mel eletronik ke atas sikap pelajar terhadap internet telah mendapati bahawa para pelajar amat kagum dan tertarik kepada internet. Mesej yang dihantar sejauh 25,000 batu jauhnya boleh sampai dalam masa beberapa minit sahaja. Para pelajar juga amat berhati-hati semasa menulis mesej supaya tidak terdapat kesalahan ejaan dan maksudnya boleh difahami oleh sipenerima dengan mudah. Amalan ini akan dapat meningkatkan penguasaan bahasa, khususnya bahasa Inggeris. Aktiviti komunikasi dalam internet seperti mel eletronik akan dapat menyediakan pelajar untuk dunia pekerjaan yang akhir-akhir ini banyak menggunakan proses perhubungan telekomunikasi yang canggih ( Everett and Ahern, 1994 ).

Internet akan menjadi sebahagian dari sekolah bestari menjelang Januari 1999 kelak. Telah pun diumumkan bahawa, semua sekolah menengah akan mendapat akses ke internet menjelang tahun 2000. Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama serta bantuan kepakaran MIMOS, telah melancarkan Projek Jaringan Pendidikan (Sulaiman, 1996). Melalui projek ini, Kementerian Pendidikan telah menyediakan kemudahan dan perkhidmatan rangkaian kepada para pelajar dan pendidik di samping menyediakan program latihan yang berterusan kepada guru-guru. Program ini, walaupun kurang berjaya, tapi sekurang-kurangnya telah dapat memberi pendedahan awal kepada guru-guru dan pelajar tentang penggunaan dan peranan internet kepada dunia pendidikan. Dalam perkembangan terbaru, Kementerian Pendidikan Malaysia , melalui Bahagian Pendidikan Guru, sedang menjalankan Kursus Dalam Perkhidmatan (14 Minggu ) Bestari kepada guru-guru di seluruh negara bertempat di beberapa buah maktab perguruan. Guru-guru ini dipilih daripada 90 buah sekolah yang dijangka akan melaksanakan kurikulum baru bestari mulai tahun 1999. Dalam kursus ini, guru-guru akan didedahkan dengan pelbagai kemahiran generik termasuklah kemahiran teknologi maklumat yang seterusnya akan menjadi asas dan keperluan utama dalam pembinaan pakej pembelajaran bestari. Para peserta akan berpeluang menjadikan internet sebagai sumber dan alat penyebaran maklumat yang cepat dan berkesan.

Integrasi internet dalam pendidikan

Internet atau ‘Internasional Network of Networks’ ialah sebuah rangkaian gergasi komputer di peringkat antarabangsa (TMB, 1998) dan merupakan cara komputer berkomunikasi antara satu sama lain ( Crumlish, 1996 ). Ia mengandungi lebih daripada 50 ribu rangkaian komputer di seluruh dunia, lebih daripada 6.6 juta komputer hos dan lebih daripada 50 juta pengguna dari lebih daripada 160 buah negara (Zoraini, 1995). Dalam rangkaian Internet, terdapat berbagai jenis bahan yang berjuta-juta bilangan dan sentiasa bertambah dari sehari ke sehari. Bahan-bahan ini termasuklah artikel, imej grafik, perisian komputer, video, audio, majalah, kertas persidangan, permainan, projek dan sebagainya. Di dalam Internet terdapat lebih daripada 8 000 kumpulan diskusi eletronik. Kumpulan ini mungkin terdiri daripada beberapa orang sehinggalah ke beberapa ribu orang yang berbincang tentang perkara yang sama, termasuklah matematik. Terdapat beberapa perkara penting yang perlu difahami oleh para pendidik berhubung dengan penggunaan internet dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Pertama

Internet hanya akan bertindak sebagai sumber dan alat bantu dalam P&P . Aktiviti pembelajaran hendaklah dirancang dengan teliti oleh guru supaya internet dapat digunakan dengan berkesan.

Kedua

Komputer dan internet tidak mengubah peranan guru. Malah sebaliknya ,guru akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka, khususnya dalam bidang IT. Ketrampilan dan keperibadian yang mulia akan tetap menjadi tunjang dan ikutan utama.

Ketiga

Penggunaan komputer dan internet dapat mengurangkan beban tugas guru dan murid di samping setiap kerja dapat dilakukan dengan kemas, teratur dan sistematik.

Keempat

Internet amat bermanfaat kepada guru dan murid serta ibubapa khususnya dalam menghadapi cabaran IT dan era globalisasi. Industri berasaskan maklumat yang akan mencorakkan kehidupan pada masa hadapan , perlu diberi perhatian sewajarnya oleh setiap ahli masyarakat, khususnya warga pendidik dan para ibubapa.

Internet telah menyediakan beberapa kemudahan, antaranya:

· E – mail (Mel Eletronik)

· Laman Web (WWW)

· Internet Relay Chat (IRC)

· Telnet

· Kumpulan Diskusi dan Berita

· File Transfer Protocal (FTP)

Semua kemudahan di atas boleh dimanfaatkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Para guru harus bijak memilih aplikasi yang sesuai digunakan. Oleh itu, perancangan aktiviti yang kemas dan teratur amatlah penting, supaya murid-murid dapat menggunakan internet secara maksimum dan optimum. Semua aplikasi tersebut boleh digunakan sama ada sebagai sumber maklumat atau pun sebagai bahan bantu yang diintegrasikan terus dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Seorang guru atau pensyarah boleh menerima dan memeriksa hasil tugasan pelajarnya melalui kemudahan e-mail.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan oleh guru dengan mengunakan e-mail ialah (Zulkifli, 1998):

  • Berkomunikasi secara dalaman dan luaran sesama guru, ibu-bapa, pelajar, dan pihak jabatan serta kementerian.
  • Mendapatkan khidmat nasihat pakar dan bantuan teknikal.
  • Berkongsi dan bertukar pendapat berhubung dengan proses pengajaran dan pembelajaran ; teknik pengajaran terbaik, idea kreatif dan inovatif, latihan dan penilaian, bahan bantu mengajar dan sebagainya.
  • Menghubungi agensi pusat dan swasta serta institusi pendidikan lain mengenai sesuatu program dan polisi yang di gunakan khususnya dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan oleh pelajar melalui e-mail ialah:

  • Berkongsi menjalankan sesuatu projek dengan pelajar di sekolah-sekolah lain.
  • Berbincang dengan rakan dari kalangan berbagai budaya dan latar belakang negara mengenai berbagai isu semasa.
  • Mengalakkan perkembangan bahasa terutama bahasa Inggeris melalui komunikasi dengan rakan pena di luar negara.
  • Memperolehi bahan dan teknik di dalam menyelesaikan sesuatu masalah pelajaran secara "on-line".

Aktiviti-aktiviti seperti di atas akan memberi banyak faedah kepada para pelajar ( Zoraini, 1996):

  • Pelajar lebih peka terhadap isu semasa dunia
  • Pelajar dapat membiasakan diri dengan aplikasi komputer
  • Pelajar berpeluang menjalankan aktiviti kumpulan , dan

Pelajar dapat meningkatkan kemahiran berfikir, kemahiran bahasa atau kemahiran berkomunikasi


Contoh Karangan Ucapan

Punca-punca dan cara mengatasi kemalangan jalan raya

Assalamualaikum. Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang berbahagia Tuan Pegawai Daerah Kubang Pasu, pegawai polis trafik, dan hadirin yang dihormati sekalian. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyampaikan ceramah dalam majlis ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kes kemalangan jalan raya menjelang hari raya semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Pada tahun-tahun lepas kadar kemalangan jalan raya pada musim perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri tidak sebanyak pada tahun lepas. Terdapat banyak punca yang menyebabkan berlakunya peningkatan kes kemalangan jalan raya di negara kita.

Antara punca utama kemalangan itu ialah kebanyakan pemandu tidak mempunyai lesen memandu. Sesetengah pemandu juga menggunakan lesen memandu yang palsu. Oleh itu, apabila tidak memiliki lesen yang sah, maka pemandu tersebut sudah semestinya tidak cekap dan tidak biasa memandu kenderaan. Hal ini akan mengakibatkan kemalangan. Setiap pemandu harus mempunyai lesen kenderaan kerana sebelum seseorang itu memperoleh lesen memandu, mereka telah didedahkan dengan teknik pemanduan yang betul. Malah apabila mereka lulus ujian pemanduan barulah mereka dianggap layak memandu kenderaan. Oleh itu seseorang yang masih tidak mempunyai lesen memandu dinasihatkan agar tidak memandu kenderaan di jalan raya.

Selain itu, kebanyakan kes kemalangan jalan raya juga berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan itu sendiri. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mengantuk. Biasanya keadaan mengantuk ini berlaku ketika tengah hari dan sebelah malam. Mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk besar kemungkinan terlelap seketika semasa memandu. Seterusnya mengakibatkan kenderaan mereka terbabas ataupun melanggar kenderaan lain pada arah yang bertentangan. Saya amat berharap agar para pemandu memastikan mereka tidak mengantuk semasa memandu kenderaan mereka. Sekiranya pemandu mengantuk mereka dinasihatkan supaya berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan.

Para hadirin sekalian,

Kemalangan juga boleh berlaku apabila pemandu dalam keadaan mabuk. Kemampuan pemandu untuk mengawal kenderaan mereka akan menjadi berkurangan apabila mereka mabuk. Hal ini kerana mereka memandu dalam keadaan berkhayal. Kenderaan yang dipandu mungkin akan membelok ke kiri dan ke kanan sehingga menyebabkan kemalangan. Lebih malang lagi jika kecuaian pemandu ini melibatkan kemalangan kepada pihak lain. Saya juga berpesan kepada semua hadirin agar tidak sekali-kali memandu dalam keadaan mabuk. Ia bukan sahaja membahayakan nyawa anda malahan pengguna jalan raya yang lain.

Kita seharusnya memandu kenderaan yang sempurna sifatnya. Sebelum memandu kenderaan, kita mesti memeriksa kenderaan kita supaya selamat untuk dipandu. Contohnya, keadaan minyak hitam, brek, bateri, air, dan lampu berada dalam keadaan baik. Terdapat pemandu yang tidak menghiraukan masalah ini. Mereka mengabaikan kesempurnaan kereta mereka. Contohnya, mereka tidak mengganti tayar yang haus. Apabila tayar kita sudah haus, sudah tentu daya cengkaman kenderaan itu akan berkurangan. Hal ini lebih membahayakan ketika hujan kerana sewaktu hujan, cengkaman tayar dengan jalan raya semakin berkurangan. Jelas di sini, tayar yang haus boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Bagi mengatasi masalah ini, pihak polis trafik telah mengadakan pelbagai usaha bagi mengurangkan lagi kadar kemalangan jalan raya. Usaha yang dilakukan nampaknya masih kurang berkesan. Pihak kami sering mengadakan kempen keselamatan jalan raya terutama sempena sambutan hari raya. Hal ini kerana kami telah mendapat maklumat bahawa kejadian kemalangan jalan raya semasa musim perayaan meningkat dengan mendadak berbanding hari-hari lain. Hal ini kerana semua rakyat di Malaysia akan melakukan perjalanan jauh sarna ada pulang ke kampung ataupun pergi melancong. Kempen-kempen yang dilakukan tertumpu di jalan-jalan utama di seluruh negara. Melalui kempen ini sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran kepada pengguna jalan raya.

Pada tahun lepas, Menteri Besar Kedah telah menyertai kempen keselamatan jalan raya. Kempen ini telah diadakan di lebuh raya Bukit Kayu Hitam-Sungai Petani. Ketika beliau berucap, beliau telah menekankan kesedaran kepada para pemandu agar memandu kenderaan mereka dengan cermat. Malah beliau juga turut memberikan baju keselamatan kepada penunggang motosikal. Kempen ini sekurang-kurangnya berjaya memberikan sedikit pengetahuan kepada pengguna jalan raya.

Pihak polis trafik juga telah memasang kamera perangkap kelajuan. Kami telah memasangnya di tempat-tempat yang strategik iaitu kawasan yang biasanya dipandu laju oleh pemilik kenderaan. Jika mereka memandu dengan kelajuan melebihi 110 km sejam, justeru kamera perangkap kelajuan ini akan merakam gambar kereta dan pemandunya. Selepas disemak oleh pegawai kami, dan didapati mereka telah melanggar had kelajuan yang dibenarkan, pihak kami akan menghantar surat sama kepada pemiliknya. Cara ini telah dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama di Lebuh Raya Utara-Selatan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pasukan polis trafik bertugas selama 24 jam di sekitar jalan raya utama di negara ini. Mereka akan memastikan agar pemandu tidak membawa kenderaan mereka dengan laju atau secara berbahaya. Jika para pemandu memandu kenderaan mereka dengan laju, mereka boleh disaman ataupun kenderaan mereka boleh ditahan. Banyak saman telah dikeluarkan oleh pasukan polis trafik melalui cara sebegini terutamanya di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan di Johor Bahru.

Jelaslah bahawa kemalangan jalan raya sebenarnya berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri. Seandainya pemandu itu berhati-hati ketika memandu maka kemalangan jalan raya dapat dikurangkan. Tetapi seandainya pemandu itu masih lagi berdegil dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya justeru kadar kemalangan ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Oleh itu saya berharap agar setiap yang hadir ini menyedari pentingnya kita berhemah semasa memandu di jalan raya. Saya juga berharap perkara ini dapat disebarkan kepada orang lain yang tidak menghadiri majlis ini.

Sebelum saya mengundurkan diri besarlah harapan saya agar kemalangan jalan raya di negara ini dapat dikurangkan. Sekian, terima kasih.